Sunday, August 24, 2014

Proton PCC @ GSC

Sumber lakaran : Enouch SIM

Berdasarkan sumber daripada beberapa akhbar harian yang diterbitkan kelmarin, penulis dapati Proton telah mula mendedahkan spesifikasi dan ciri-ciri yang bakal melengkapi model kompak serba baharunya, yang kini dikenali dengan kod nama Proton Compact Car (PCC).

Menurut Proton, PCC akan dilancarkan dalam masa terdekat, merupakan sebuah kereta kompak yang dibangunkan baharu sepenuhnya dan berada di dalam segmen B. PCC dihasilkan menerusi dua penekanan utama iaitu tahap keselamatan terbaik dan ekonomi bahan api, namun ditawarkan pada harga mampu milik.

PCC akan dikuasakan dua jenis enjin terbaharu dengan teknologi VVT dalam sesaran 1.3 dan 1.6 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 110hp dan tork 148Nm, selain mampu mencecah kelajuan lebih 180 km/j. PCC akan dipadankan transmisi manual dan automatik, serta ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.

Menurut Proton lagi, enjin PCC dibangun menggunakan omboh, blok dan injap baharu, pertama seumpamanya bagi model Proton, sekaligus bakal menjadikannya sebagai sebuah model terbaik keluarannya setakat ini. Lebih menarik lagi, enjin VVT pada PCC mampu menawarkan 10 peratus penjimatan berbanding enjin Campro sebelum ini.

Enjin VVT yang digunakan pada PCC adalah permulaan kepada generasi enjin baharu yang akan digunakan pada model akan datang kenderaan Proton bagi menggantikan enjin Campro. PCC juga akan menggunakan stereng kuasa elektrik hidraulik yang menjadikan stereng lebih ringan pada kelajuan rendah dan berat serta seimbang pada kelajuan tinggi.

Selain itu, PCC dilengkapkan dengan enam beg udara dan sistem ABS, EPS dan Hill Hold Assist, serta telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).

Menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa, yang memberikan taklimat kepada pihak media baru-baru ini, penggunaan teknologi terkini dalam rekaan dan keselamatan pada PCC yang ditawarkan dalam tujuh pilihan warna, adalah sejajar dengan apa yang dimahukan pelanggan Proton.

Sementara itu Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman, berkata PCC dibangunkan dalam tempoh dua tahun selepas prototaipnya dibangunkan pada tahun 2010. Setakat ini PCC mungkin akan diberi nama rasmi Proton Iriz, Iris atau pun Airis.

Sumber Artikel: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Komen adalah DIBENARKAN tetapi TIDAK DIGALAKKAN kerana kemungkinan saya TERLEPAS PANDANG untuk membalas komen tuan/puan.

Tuan/Puan/Cik digalakkan untuk membuat pertanyaan melalui EMEL / WHATAPPS ATAU TELEFON

zakiautoworld@gmail.com
019-2198400