Friday, April 24, 2015

Toyota Camry Hibrid 2015


Pengedar kenderaan jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) kembali merancakkan persaingan bagi segmen D atau sedan eksekutif melalui pelancaran model Toyota Camry terbaharunya.
Model terbaharu versi pemasangan tempatan (CKD) ini dipasang di kilang Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) yang terletak di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan dan ditawarkan dengan tiga varian berbeza iaitu varian 2.0E, 2.0G dan 2.5 Hybrid.
Varian tertinggi, Toyota Camry 2.5 Hybrid menjadi fokus utama UMW Toyota untuk pasaran di Malaysia tahun ini. Sebanyak kira-kira 7,000 unit varian ini disasarkan bakal dijual.
Daripada sudut pandang bahagian hadapan, Camry varian 2.5 Hybrid ini nampak lebih maskulin dengan kehadiran gril radiator jenis mesh, kemasan krom di bahagian bampar hadapan dan beberapa komponen lain seperti lampu hadapan utama jenis diod pemancar cahaya (LED), pemantul pancaran cahaya tinggi, projektor pancaran cahaya rendah, lampu isyarat membelok dan lampu nyalaan siang (DRL).
Ruang kokpit
Untuk hiasan ruangan kokpit pula, model sedan segmen D ini menggunakan tona warna hitam dengan pusat kluster direka semula. Meter optitron masih dikekalkan pada panel instrumen tetapi dikemaskan lagi dengan hiasan warna biru putih bagi membenarkan maklumat yang dipaparkan lebih mudah dilihat pemandu.
Di antara meter penunjuk had kelajuan dan takometer, terdapat skrin paparan maklumat bersaiz 4.2 inci pada panel meter model ini berfungsi mempamerkan informasi kenderaan seperti posisi gear, julat anjakan, mesej amaran, penggunaan bahan api dan suhu kenderaan.
Paparan skrin panel meter untuk sedan ini turut diaplikasikan dengan sistem pemantau kuasa Hybrid Synergy Drive dan Hybrid System Indicator yang menunjukkan maklumat tambahan seperti masa sebenar output dan status pengecasan elektrik.
Sistem audio DVD-AVN (Audio-Video Navigation) terdiri daripada paparan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci, sistem navigasi, pemain DVD, tuner, perumah sambungan MP3 dan USB, 10 pembesar suara dan MirrorLink dipasang membantu memberikan keselesaan ketika pemanduan.
Tirai (Sunshade) pada cermin belakang juga boleh dikawal secara elektrik manakala tirai di bahagian cermin tingkap sisi perlu ditarik menggunakan cara manual.
Dengan kehadiran kemasan kayu jenis zebrawood pada papan pemuka, konsol, perumah tombol gear dan tempat duduk boleh laras lapan cara (secara elektrik) serta panel sisi yang dibalut dengan kulit berwarna hitam, ia pastinya menawarkan ambien mewah pada ruangan dalaman kenderaan penumpang baharu ini.
Sedan segmen D ini juga menyediakan Auto Electro Chromic Mirror untuk kegunaan pemandu, ia membantu mengurangkan silau ketika memandu pada waktu malam.
Pemasangan pengelap cermin jenis automatik pula membantu meringankan tugas pemandu ketika pemanduan di waktu hujan. Ia mula berfungsi sebaik mengesan jumlah titik hujan yang menyentuh cermin hadapan dan secara langsung bertindak selari dengan kelajuan diperlukan untuk memastikan permukaan cermin hadapan sentiasa dalam keadaan jelas sekalipun ketika hujan.
Bagi mengurangkan bunyi bising angin dan menambahbaik keselesaan ruangan kabin, kereta ini dipasangkan cermin jenis High Solar Energy-Absorbing (HSEA) di bahagian sisi dan belakang serta aplikasi cermin hadapan bercirikan penyerap elemen akustik.
Turut terdapat pada varian ini ialah talam pengecas tanpa wayar dan nanoe ioniser.
Selain reka bentuk, Toyota turut memfokuskan perincian terhadap aspek aerodinamik kereta. Contohnya, bahagian cermin pandang sisi di pintu kereta dan kluster jernih di bahagian belakang kini sudah memiliki sirip baharu yang lebih stabil.

Varian ini diberi penambahan dengan wujudnya pemasangan pelindung bahagian bawah bagi mengurangkan pergerakan dan olengan badannya.
Bampar belakang model ini juga telah direka semula bagi menghasilkan ilusi tiga dimensi. Sama seperti model tipikal Jepun lain, bahagian belakang kereta ini penuh dengan emblem yang tertera perkataan seperti Camry, Hybrid dan Hybrid Synergy Drive.
Enjin Camry Hybrid ini dihidupkan menggunakan sistem kemasukan pintar (Smart Entry) dan Start System yang merupakan ciri standard untuk sedan eksekutif sepertinya.
Menyentuh aspek enjin, sedan ini dipasangkan dengan enjin 2AR-FXE empat silinder Hybrid Synergy Drive bersesaran 2,494cc. Dengan janaan kuasa maksimum mencecah sehingga 205PS dan puncak tork tertinggi yang mampu dicapai ketika menggunakan enjin petrol ialah 213Nm manakala kapasiti tork maksimum ketika penggunaan motor elektrik pula pada 270Nm. Motor elektrik ini mendapat kuasanya daripada bateri nickel metal-hydride yang terletak di bahagian but.
Ciri-ciri keselamatan
Selain memberi kapasiti tork tinggi, enjin ini turut menawarkan mod pemanduan elekrik asli (EV) pada kelajuan mencecah 40 kilometer sejam (kmsj). Mod pemanduan ekonomi (ECO) juga boleh diaktifkan secara manual.
Pada mod ECO ini, pedal pemecut dilembapkan dan sistem pendingin hawa direndahkan bagi mempertingkatkan penjimatan penggunaan bahan api. Fungsi brek regeneratif pula bertindak menukar motor elektrik kepada generator bagi mengumpul tenaga kinetik yang dihasilkan putaran tayar semasa penggunaan brek.
Kombinasi ini digabungkan dengan transmisi generasi terkini jenis Electronically Controlled Continuosly Variable Transmission (E-CVT) yang mampu menghantar kuasa ke bahagian roda hadapan dengan lebih efektif.
Tugas menggerakkan model ini jelas mudah dengan rangkaian rim aloi bersaiz 17 inci dipadankan bersama tayar 215/55R17 di bahagian hadapan dan belakang.
Ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan untuk varian Hybrid ini ialah sistem Vehicle Stability Control (VSC) yang turut meliputi Traction Control (TRC). Sistem keselamatan aktif itu dibangunkan oleh Toyota untuk mengesan gelinciran tayar sewaktu memecut di selekoh atau membelok di jalan yang licin.
Turut dilengkapi dengan sistem pemantau titik buta pada bahagian sayap cermin, ia mula beroperasi pada kelajuan 16 kmsj dan menggunakan gelombang radar bagi mengesan kenderaan lain di sekeliling kereta. Isyarat kecemasan akan dipamerkan pada cermin jika terdapat kenderaan terlalu hampir dengan kereta bertujuan mengingatkan pemandu supaya berhati-hati. Sistem dan pengesan sama digunakan untuk sistem Rear Cross Traffic Alert.
Dilengkapi fungsi Hill-Start Assist (HSA), ia membantu mengenal pasti darjah kecondongan dan meningkatkan keyakinan pemandu dengan membantu mengelakkan kenderaan daripada terundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.
Selain itu, kereta lima pintu ini dibekalkan dengan tujuh beg udara SRS di ruang kabin, sistem brek anti-kunci (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD), Brake Assist (BA) dan sistem kawalan jelajah (Cruise Control).
Terdapat lima pilihan warna ditawarkan seperti Grey Metallic, White Pearl, Attitude Black, Medium Silver Metallic dan Silver Metallic.
Harga atas jalan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) beserta insuran untuk varian hybrid ini ialah RM174,900. Toyota menawarkan jaminan selama 36 bulan atau pada kadar perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu). Bateri hybrid diberi jaminan selama lapan tahun dengan kadar perbatuan tidak terbatas.
Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Toyota atau layari laman web www.toyota.com.my.

Sumber: Kosmo Online

SILA HUBUNGI (SERIOUS BUYERS ONLY): ZAKI 
019-2198400 Call/Whatsapp/Telegram/SMS
admin@zakiautoworld.com
_______________________________________________

"Mudah,Cekap & Amanah"

http://www.zakiautoworld.com/ -  Sejak 2010 (since 2010)

No comments:

Post a Comment

Promosi Toyota / Honda / Perodua / Proton 2018.
Hubungi Zaki 0192198400